Soalan Lazim Biasiswa Tempatan

MAKLUMAT UMUM

1. Apakah objektif program Biasiswa Universiti Tempatan ini?
Objektif program biasiswa ini adalah untuk meningkatkan bilangan kemasukan pelajar Bumiputera yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda di institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia.

2. Berapakah nilai pembiayaan Biasiswa Universiti Tempatan yang ditawarkan?
Nilai biasiswa yang ditawarkan  meliputi bayaran penuh yuran pengajian sarjana muda, yuran asrama, kos buku, dan lain-lain perbelanjaan sara hidup tidak melebihi RM15,000 setahun sepanjang tempoh pengajian.

3. Adakah YDD mempunyai senarai institusi pilihan untuk pemohonan Biasiswa Universiti Tempatan ini?
Biasiswa ini dibuka kepada semua calon-calon lepasan SPM atau lepasan pra-universiti yang telah mendapat tawaran kursus sarjana muda daripada institusi-institusi pengajian tinggi awam atau swasta seperti yang disenaraikan oleh SETARA (Agensi Kelayakan Malaysia).

 4. Adakah YDD akan membantu pemohon biasiswa untuk mendapatkan tempat di institusi pengajian tinggi?
Semua pemohon harus membuat permohonan sendiri ke universiti untuk mendapatkan tawaran kemasukan ke kursus yang dikehendaki.

5. Adakah penerima biasiswa akan terikat untuk bekerja dengan YDD selepas tamat pengajian?
Penerima biasiswa tidak akan terikat bersama YDD setelah tamat pengajian.

6. Bolehkah saya memohon Biasiswa Universiti Tempatan ini untuk pengajian pasca-siswazah di institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia?
Pada masa ini, biasiswa ini hanya terbuka untuk pengajian sarjana muda sahaja.

SYARAT KELAYAKAN

1. Siapakah yang layak untuk memohon biasiswa Program Universiti Tempatan ini?
Pemohon mestilah memenuhi semua kriteria berikut:

  • Bumiputera Malaysia, keutamaan akan diberikan kepada pemohon daripada keturunan Orang Asli di Semenanjung Malaysia dan Bumiputera (Peribumi) di Sabah dan Sarawak;
  • Jumlah pendapatan keluarga seluruh isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan,
  • Telah mendapat tawaran daripada institusi pengajian yang berkaitan,
  • Akan mengikuti pengajian sarjana muda untuk kali pertama,
  • Memenuhi ciri-ciri peribadi yang dikehendaki dan kriteria pemilihan lain.

 2. Apakah bidang pengajian yang diliputi oleh biasiswa Program Universiti Tempatan?
Biasiswa ini terbuka kepada semua subjek pengajian sarjana muda; keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang mengambil kursus-kursus kritikal kepada pembangunan ekonomi negara atau kursus-kursus yang akan memenuhi permintaan tenaga mahir semasa dalam industri berkemahiran tinggi.

3. Bolehkah pemohon mengikuti kursus secara sambilan memohon biasiswa Program Universiti Tempatan ini?
Hanya pemohon yang ingin mengikuti pengajian sepenuh masa sahaja yang akan dipertimbangkan.

4. Bolehkah pemohon yang telah memulakan kursus universiti memohon?
Pemohon yang akan memulakan pengajian atau pemohon yang masih dalam tahun pertama pengajian sahaja akan dipertimbangkan.

5. Apakah pencapaian minimum yang harus dikekalkan oleh penerima biasiswa?
Semua penerima biasiswa mesti mengekalkan gred minimum Kelas 2 Kepujian ke atas, atau PNGK 3.0 ke atas, atau sekurang-kurangnya gred B dalam semua peperiksaan daripada markah akhir kursus.

6. Apakah syarat-syarat lain yang mesti dipenuhi oleh pemohon biasiswa?
Pemohon biasiswa yang berjaya perlu memenuhi pemeriksaan perubatan sebelum ditawarkan biasiswa.

PROSES PERMOHONAN

1. Apakah proses permohonan untuk biasiswa Program Universiti Tempatan ni?
Pemohon mengisi boring permohonan secara dalam talian dan mengikut arahan permohonan di laman web Yayasan DayaDiri.

2. Bagaimanakah pemohon boleh mendapat tahu tarikh tutup pemohonan dan sekiranya permohonan mereka telah berjaya?
Sila semak pengumuman di laman web kami, halaman Facebook atau Twitter untuk tarikh akhir permohonan. YDD akan menjalankan pemilihan calon biasiswa dari bulan Mei ke September setiap tahun. Pemohon yang telah disenaraipendek akan dihubungi melalu emel untuk peringkat pemilihan yang selanjutnya.

3. Apakah yang akan berlaku jika saya tidak memperoleh tempat di mana-mana universiti?
Kami memerlukan pemohon untuk menunjukkan bukti tawaran daripada institusi pengajian tempatan dan bahawa mereka telah memenuhi syarat-syarat kemasukan sebelum ditawarkan biasiswa.

5. Adakah pemohon perlu mel sijil dan dokumen sokongan ke YDD?
Pemohon tidak perlu menghantar sijil atau transkrip akademik. Pemohon yang disenarai pendek akan diminta membawa salinan sijil-sijil dan transkrip akademik apabila dipanggil untuk temuduga.

6. Bolehkah saya membuat rayuan ke YDD sekiranya saya tidak disenarai pendek?
Semua keputusan pemilihan anugerah biasiswa adalah muktamad.

Untuk maklumat lain yang tidak terkandung dalam seksyen Soalan Lazim ini, sila e-mel kami.